Kesetiaan Hang Tuah
Assalamualaikum. Salam Sejahtera. Pada perbincangan kali ini saya ingin mengupas bab 10 pada hikayat epik Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah dengan menggunakan dekonstruksi sebagaimana yang diketengahkan oleh Jacques Derrida. Umum mengetahui bahawa Hikayat Hang Tuah sangat istimewa dan terkenal dalam peradaban Melayu Nusantara.
Namun begitu, ciri-ciri kesetiaan Hang Tuah ini masih boleh dipertikaikan. Apakah benar kesetiaan Hang Tuah itu benar-benar wujud atau terdapat kepentingan lain yang diperoleh daripada kesetiaan Hang Tuah kepada Raja Melaka ? Persoalan ini wujud apabila teori dekonstruksi diaplikasikan dalam Hikayat Hang Tuah dan melihat penceritaan hikayat ini pada bab 10 Hikayat Hang Tuah. Saya mengutarakan persoalan ini kerana kalau kita meneliti bab 10 Hikayat Hang Tuah, peristiwa yang dinaratifkan seolah-olah bertentangan dengan ciri-ciri Hang Tuah sebagai seorang yang setia kepada sultan. Bab 10 menceritakan tentang bagaimana Hang Tuah berusaha untuk melarikan Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja Melaka. Untuk melarikan Tun Teja, Hang Tuah berpura-pura cintakan Tun Teja dan menyuruh ibu angkatnya, Dang Ratna menyampaikan hasrat Hang Tuah kepada Tun Teja. Akibat kedudukan Dang Ratna tidak setaraf dengan Tun Teja, Dang Ratna digocoh oleh Tun Teja. Keadaan ini mendatangkan kemarahan Hang Tuah sehingga sanggup menggunakan ubat guna-guna untuk dilumurkan kepada Tun Teja agar Tun Teja tergila-gilakannya. Setelah kedua-duanya mencurahkan isi hati masing-masing, barulah terlahir cinta suci Hang Tuah terhadap Tun Teja. Namun, konflik timbul apabila hasrat sebenar Hang Tuah adalah untuk membawa Tun Teja kepada Raja Melaka.
Setibanya Hang Tuah dan Tun Teja tiba di Melaka dengan bantuan Tun Bija Sura dan Tun Rana Diraja, Tun Teja diberi ubat pembeci agar Tun Teja membenci Hang Tuah dan bersetuju untuk berkahwin dengan Raja Melaka. Hang Tuah pula pada sudut lain dianugerahkan pangkat oleh Raja Melaka iaitu Laksamana, ketua segala hulubalang Melaka. Berdasarkan penerangan ringkas ini, maka persoalan tentang kesetiaan Hang Tuah boleh diajukan apabila ketika diluar Melaka, Hang Tuah tidak sanggup untuk melepaskan Tun Teja kepada Raja Melaka. Manakala pandangan tentang kepentingan yang diperoleh Hang Tuah juga boleh diajukan apabila Hang Tuah dengan senang hati menerima pangkat yang diberikan oleh Raja Melaka dan meletakkannya di kedudukan tinggi serta dihormati oleh Raja Melaka khususnya dan masyarakat Melayu di Melaka secara amnya. Itu sahaja perbincangan kali ini. Di perbincangan lain, InsyaAllah saya akan mengupas dekonstruksi pada bab lain Hikayat Hang Tuah.
.jpg)
Comments
Post a Comment