Alasan Hang Jebat dan Fitnah Hang Tuah

Assalamualaikum. Pada perbincangan kali ini, saya hendak mengupas peristiwa Hang Tuah difitnah sehingga mengakibatkan hukuman mati yang dititahkan oleh Raja Melaka. Dalam bab 15 Hikayat Hang Tuah, mengisahkan tentang Hang Tuah yang difitnah telah bermukah dengan dayang-dayang istana. Dalang yang menyebarkan fitnah ini ialah Patih Kerma Wijaya dan pegawai-pegawai istana yang lain kerana terlalu mencemburui Hang Tuah, yang sentiasa mendapat tempat di hati Raja Melaka. Akibatnya Raja Melaka murka dan menitahkan hukuman mati ke atas Hang Tuah. Pengaplikasian dekonstruksi pada peristiwa fitnah ini menimbulkan satu persoalan iaitu adakah benar Hang Tuah itu difitnah atau hendak menunjukkan 'kesucian' Hang Tuah itu? Hal ini kerana, seperti yang kita tahu, ketampanan Hang Tuah itu mampu membuatkan semua perempuan ketika itu suka dan jatuh cinta kepadanya. Malah bukan sekadar rupa, suaranya juga sudah mampu memikat hati gadis-gadis ketika itu. Perkara ini juga ada diceritakan pada bab lain dimana ketika Hang Tuah berada di Inderapura, rupa dan suaranya sudah mampu mengagumkan biduanda Tun Teja seperti Dang Merdu, Dang Kemala, Dang Warna, Dang Senja dan Intan Baiduri. Sudah tentu situasi yang sama juga berlaku kepada dayang-dayang istana yang seringkali melihat Hang Tuah di istana.

Gambaran yang sama jika disingkap apabila Hang Jebat mendapat gelaran Paduka Raja, Hang Jebat secara bebasnya melakukan apa sahaja yang dimahukan kerana kedudukannya yang tinggi di istana. Malah, satu persoalan lain juga boleh dibangkitkan apabila kenyataan Hang Jebat bertindak liar di dalam istana adalah untuk membalas dendam dan menuntut bela kematian Hang Tuah. Persoalannya adakah benar Hang Jebat melakukan semua itu untuk menuntut bela? atau sebenarnya sebelum ini Hang Jebat rasa cemburu dengan apresiasi demi apresiasi yang diberikan kepada Hang Tuah oleh Raja Melaka? Kebebasan dan kedudukan yang dimiliki Hang Jebat hanyalah diperoleh setelah Hang Tuah 'ditendang' keluar dari istana. Sekian. Terima kasih. 

Comments