Ubat Guna-Guna kerana malu ?

 Assalamualaikum. Pada perbincangan kali ini saya ingin mengupas peristiwa Tun Teja dilarikan oleh Hang Tuah ke Melaka. Seperti yang sedia maklum, pada bab 9 Hikayat Hang Tuah diceritakan tentang Tun Teja yang ingin dikahwinkan dengan Megat Panji Alam Terengganu atas sebab perdamaian antara kedua-dua kerajaan ketika itu. Akan tetapi, setelah Tun Teja melihat wajah dan keperibadian Hang Tuah, Tun Teja mula jatuh hati. 

Pada bab 10 inilah menceritakan bagaimana Hang Tuah menggunakan ubat guna-guna agar kecintaan Tun Teja itu semakin menebal. Pengaplikasian dekonstruksi boleh dilihat dari peristiwa kesanggupan Tun Teja menolak untuk dikahwinkan dengan Megat Alam Panji Terengganu dan beralih cintanya kepada Hang Tuah. Penceritaan Hang Tuah menggunakan ubat guna-guna ini boleh dipersoalkan sama ada benar Hang Tuah berbuat demikian atau sebenarnya penceritaan ini ingin menutup malu kerajaan Terengganu ketika itu? Hal ini kerana, tidak logik jika seseorang itu menolak pinangan dari kalangan kerabat yang megah dan kaya raya untuk beralih keinginannya bercinta dengan seseorang yang dianggap tarafnya lebih rendah berbanding kerabat ini. Malah, jika dilihat dengan lebih mendalam dari perspektif wanita, sedar atau tidak pada zaman dahulu wanita hanyalah sebagai objek pertukaran kepentingan sesebuah kerajaan. Dalam konteks penceritaan Tun Teja, Tun Teja dijadikan objek pertukaran perdamaian semata-mata untuk meleraikan konflik yang berlaku antara kerajaan Inderapura dan kerajaan Terengganu. 

Comments